Tidak semua dari kita pernah mempunyai pengalaman tersua dengan makhluk halus. Kebanyakannya hanya mendengar cerita tentang kewujudan mereka dari pengalaman orang lain. Walaupun kebanyakan dari manusia tak pernah bersua dengan makhluk halus, itu tidak bermakna yang mereka tidak wujud sebab khabar tentang adanya mereka bersifat mutawatir. Bahkan setiap bangsa yang ada diatas muka bumi ini membawa pelbagai kisah tersendiri tentang kewujudan mereka sejak zaman berzaman. Maka makhluk halus sememangnya wujud.

Antara sifat makhluk halus yang disepakati secara umum ialah mereka tidak dapat dilihat namun mereka dapat menjelma dalam bentuk yang dapat dilihat oleh manusia. Adapun bagi masyarakat melayu, makhluk halus yang jahat atau yang sering mendatangkan gangguan dan masalah terhadap manusia disebut sebagai hantu. Terdapat pelbagai nama hantu diantaranya Penanggal, Pontianak, Jembalang, Hantu Raya, Jerangkung, Polong, Pocong, Hantu Tinggi, Langsuir, Pelesit, Saka, Puaka, Toyol dan sebagainya.

Sebenarnya makhluk halus ini hakikatnya adalah jin kerana sifat-sifat jin yang disebut Al Quran bertepatan dengan sifat kewujudan mereka. Makanya semua hantu itu adalah jin. Oleh itu, kita sepatutnya bersyukur kerana melalui Al Quran kita akan lebih mengenal tentang hantu ini sebab selama ini kita dimomokkan dengan mitos dan tahayul tentang kewujudan mereka.

Jin diciptakan dari api dan dijadikan sebelum manusia. Al Quran ada menukilkan tentang jin bernama Iblis yang bersifat jahat (syaitan) kerana mengingkari Allah. Ia telah berjaya mengeluarkan Adam dari syurga dengan tipu daya dan hasutannya. Sehingga sekarang ia masih memusuhi keturunan Adam. Inilah dia Iblis, bapak segala hantu. Tapi entah kenapa, masyarakat melayu tidak melabel Iblis sebagai hantu atau setidak-tidaknya memandangnya sebagai hantu walaupun kejahatannya lebih besar berbanding Hantu Raya.

Pada sisi lain ada juga jin yang mentaati nabi kerana beriman kepada Allah seperti Ifrit dizaman Nabi Sulaiman (27:39) dan juga sekumpulan jin yang mendengar bacaan Al Quran dari Nabi Muhammad SAW (72:2). Makanya tidak semua jin itu jahat, ada juga yang baik. Bahkan mereka juga punyai akal fikiran sebagaimana manusia, oleh kerana itu mereka juga disyariatkan dengan agama Islam. Begitu jugalah jin-jin baik yang menjelma dialam melayu lalu mereka dipanggil sebagai Orang Bunian, Orang Kayangan, Nenek Kebayan, Puteri itu dan ini, Panglima itu dan ini, Wali, Rijalul Ghaib dan sebagainya kerana penampilan mereka yang baik, bersih dan menolong dalam perkara kebaikan.

Namun begitu, tak semua jin baik itu alim sebab kebanyakan dari Orang Bunian, Orang Kayangan dan sebagainya itu apabila ditanya soal usul atau furu’ dalam agama, belum pernah kami jumpa yang dapat memberi jawaban dengan tuntas. Oleh itu janganlah memandang tinggi keilmuan mereka berbanding ulama dari golongan manusia. Bahkan mereka juga tidak arif soal ilmu-ilmu Tasawuf yang berkisar ketuhanan. Apatah lagi soal Wahdatul Wujud.

Sungguh pun ada jin yang baik maka itu tidak bermakna kita patut mendampingi mereka sebab walaupun jin tak semuanya hantu tapi kebanyakan mereka tidak alim dan arif dalam hal agama. Oleh itu tidak melibatkan mereka dalam urusan manusia adalah lebih afdhal.