Tepat jam 8 pagi saya terima panggilan telefon dari Abang Mus. Beliau merupakan kenalan saya dan juga berkecimpung dalam bidang rawatan.

Rasanya Abang Mus tengah hadapi masalah besar sampai meminta bantuan saya. Saya minta Abang Mus supaya bawa pesakit datang ke PRAWIS petang nanti.

Jam 2.15 petang…
Saya terima lagi panggilan dari Abang Mus.
“Pesakit dah mula tunjukkan sifat agreasif. Tak boleh nak bawa ke PRAWIS, takut mengamuk dalam kereta nanti” kata Abang Mus.

Saya minta Abang Mus bersabar kerana ada beberapa urusan yang perlu dibuat dulu. Lagi pun saya kena info pada PENGASAS tentang perkara ini dulu.

Jam 5.00 petang…
Saya terima lagi panggilan telefon dari Abang Mus. Tapi kali ini anak perempuan beliau yang bercakap. Kedengaran suaranya menjerit sambil menangis minta saya datang dengan segera.

“Nanti dia mati abah pijak. Cepatlah datang!”.

Antara yang sempat dan dapat saya dengar. Keadaan seperti huru hara di sebelah sana.

Tepat jam 6.15 petang saya sampai depan rumah Abang Mus. Agak lewat sedikit kerana banyak kereta sepanjang perjalanan tadi. Saya lihat Abang Mus duduk di luar rumah dan kelihatan seperti letih. Saya bagi salam dan disambut oleh Abang Mus.

“Kau tengok dulu budak tu… Dah banyak aku ubat orang, dah banyak jin aku bunuh, tapi yang ni aku tak pernah jumpa. Nasib tak mati aku pijak tadi” keras kata Abang Mus.

Saya masuk ke dalam rumah dan saya dapati ada seorang budak lelaki di ruang tamu sambil tangannya digari dan kaki diikat. Saya tanya orang yang ada di sebelah pesakit kenapa sampai macam ini.

“Tadi dia mengamuk, pecahkan satu pintu dan peluk leher anak perempuan Abang Mus dari belakang dengan kuat”.

Patutlah Abang Mus marah sangat kata hati saya. Saya duduk berhadapan dengan pesakit. Saya perhatikan perilaku dan perincikan setiap maklumat yang dapat sewaktu berinteraksi dengan pesakit. Kesimpulan saya ialah tiada jin dalam badan. Rasanya pesakit ni sedar dan berlakon sahaja getus hati saya.

Saya tinggalkan pesakit sebentar dan pergi dapatkan Abang Mus. Saya minta Abang Mus ceritakan apa yang berlaku sebelum ini. Setelah cukup maklumat yang diperlukan, saya pergi semula kepada pesakit tadi. Pesakit masih membuat aksi mencakar lantai sambil menderam.

Patutlah kes tak selesai, rupanya Abang Mus salah diagnos. Bila salah dari mula, tindakan yang kemudian juga akan salah, malah mungkin akan jadi lebih teruk lagi.

Saya minta agar tinggalkan hanya saya berdua sahaja dengan pesakit. Buat masa ini saya tak nak orang lain tahu apa masalah sebenarnya lebih lebih lagi orang yang ada di sebelah pesakit bukan saudara kepada pesakit.

“Beginilah…kejap lagi aku nak balik. Aku cuba nak tolong kau dengan cara terbaik, tapi kau tak nak. Lepas ni kalau Abang Mus telefon aku lagi…aku akan datang dengan polis. Aku akan minta polis tu buat ‘urine test’. Biar kau masuk lokap. Aku tau kau ambil dadah”

Habis sahaja kata saya, dengan perlahan pesakit memberhentikan aksinya dan duduk betul betul menghadap saya.

“Ampun ustaz…jangan buat macam tu…tolonglah…”

Sengaja saya buat tak peduli dan cuba bangun dari duduk. Dengan pantas tangan dan peha saya ditahan. Pesakit terus merayu dan meminta tolong.

“Kali ni aku cuba tolong kau…tapi lepas ni kalau kau buat perangai lagi, aku terus bawa polis nanti”

Pesakit mengangguk perlahan. Saya pun memberitahu apa yang perlu dibuat selepas ini dan minta pesakit ikut saja arahan saya.

Pesakit mula nampak lemah dan hilang keseimbangan badan. Saya sambut dan baringkan pesakit. Saya teruskan rawatan seolah ada jin dalam badan pesakit. Selepas beberapa ketika saya sedarkan pesakit dan minta pesakit untuk bangun dan minum secawan air. Saya suruh pesakit baring semula dan rehatkan diri.

Saya tinggalkan pesakit dan terus mendatangi Abang Mus. Saya sampaikan apa yang saya buat dan perkara yang sebenarnya berlaku. Pada saya Abang Mus wajar tahu kerana ini kes beliau. Bulat mata Abang Mus mendengar penerangan dari saya.

“Jadi…sebenarnya tiada jin?” tanya Abang Mus.

“Tiada” ringkas jawapan saya. “Pesakit tadi dah mengaku yang dia ada ambil syabu. Bila saya tanya kenapa buat macam ni…dia cuma diam membisu. Andaian saya mungkin pesakit hadapi tekanan dalam kehidupannya” sambung saya lagi.

Selepas solat Maghrib di rumah Abang Mus, saya pun bagi tau yang saya nak balik. Tugas saya dah selesai untuk hari itu.