Antara pertanyaan yang paling kerap diajukan kepada PRAWIS ialah “boleh tak scan penyakit saya?” dan ada juga yang bertanya, “boleh scan saya tak kot-kot ada sihir ke jin ke?” Sebenarnya scan ini apa? Apa agaknya yang difahami masyarakat tentang scan ni?

Antara respon yang kami terima tentang maksud scan dari beberapa pesakit yang datang apabila kami ajukan kembali pertanyaan tentang scan, selalunya mereka memaknai scan sebagai kemampuan perawat yang kasyaf yakni si perawat berkebolehan mengetahui perkara ghaib. Contohnya seperti dapat melihat jin, dapat melihat barang sihir yang ditanam samada pada tubuh atau pada tempat-tempat tertentu dikawasan kediaman atau premis perniagaan dan mengetahui siapa yang menyihir pesakit samada saudara terdekat atau jiran tetangga dan sebagainya. Benarkah adanya manusia kasyaf sebagaimana yang dimaknai oleh mereka?

Teringat suatu peristiwa dimana pada suatu hari sekitar 10 tahun lepas, Pengasas PRAWIS (yang pada ketika itu belum mewujudkan PRAWIS) pergi menemui Tok Belagak ditempatnya kerana beliau telah menuduh dengan meyakinkan murid-murid beliau dan khalayak bahawa Tuan Pengasas ilmunya berasaskan dampingan dengan jin dan sebagai hujah beliau mengatakan dakwaannya itu adalah selepas melakukan scan terhadap Tuan Pengasas. Tok Belagak waktu itu telah meng’claim’ dirinya sebagai manusia paling kasyaf (disini maksud kasyaf adalah sebagaimana makna diatas) dan pada ketika itu beliau diyakini sebagai pakar scan dan ramai ‘followers’. Berikutan dari itu Tuan Pengasas pergi menemui beliau untuk menilai sejauh manakah benarnya Tok Belagak adalah manusia kasyaf. Dihimpunnya Tok Belagak dengan muridnya yang telah diiktiraf sendiri oleh Tok Belagak sebagai bertaraf kasyaf juga kemudian diberikan kepada mereka seorang sehelai kertas untuk mencatat hasil setiap scan mereka terhadap Tuan Pengasas secara ‘live’. Hasilnya, setiap keputusan scan mereka yang tercatat pada kertas masing-masing adalah bercanggah diantara satu dengan yang lain selepas mereka berdua ditanyai dengan beberapa soalan oleh Tuan Pengasas mengenai hal yang bersangkutan dengan perkara ghaib. Terbukti, tidak seorang pun dari mereka yang kasyaf sebagaimana dakwaan mereka.

Dari hasil kajian kami terhadap pesakit-pesakit yang datang berubat di PRAWIS, kebanyakan dari mereka sebelumnya telah berubat dengan ramai perawat kasyaf dan masing-masing dari perawat kasyaf yang telah ditemui mereka menyatakan kesimpulan yang bercanggah diantara satu sama lain. Sebagai contoh.. Perawat kasyaf pertama melakukan scan dan mengatakan yang dirinya diganggu saka sementara perawat kasyaf yang kemudian pula melakukan scan dan mengatakan sakitnya disebabkan santau dan perawat kasyaf yang terakhir setelah melakukan scan mengatakan beliau didampingi Puteri Bunian. Akhirnya pesakit menjadi keliru kerana kesimpulan perawat kasyaf yang bercanggah diantara satu dengan yang lain. Persoalannya, apakah benar ketiga-tiga perawat itu kasyaf? Jika benar mereka kasyaf mengapa hasil scan mereka jauh bercanggah?

Sidang pembaca sekelian.. Kami tidaklah menolak bahawa kemungkinan adanya manusia diluar sana yang kasyaf sehingga scannya tepat namun persoalan yang timbul adalah apakah benar setiap perawat yang melakukan scan itu adalah seorang yang kasyaf? Apakah kayu ukur sebagai pengesah bahawa seseorang itu kasyaf? Adakah nilaiannya terletak pada ‘title ustaz’ dan serban yang dipakainya ataupun dinilai pada sudut banyaknya pesakit-pesakit yang telah dirawatnya? Ataupun apabila perawat mendakwa perkara ghaib dengan mengatakan “kamu disihir oleh jiran kamu” atau “ada 2 ekor jin yang mendampingi kamu” maka beliau terus diiktiraf sebagai kasyaf dan dakwaannya itu adalah hasil scan yang tepat walaupun bukti yang nyata tidak dinyatakan oleh beliau?

Di PRAWIS, tiada seorang pun diantara perawatnya yang kasyaf maka oleh sebab itulah aktiviti scan tidak diamalkan. Namun, hal itu tidaklah meletakkan kami sebagai tidak tahu apa yang berlaku ke atas pesakit sebab walaupun tanpa scan, kami tetap dapat menentukan punca penyakit bagi pesakit dengan kaedah Diagnos.