Lazimnya apabila kami berhadapan dengan pesakit yang kerasukan, kami mengamalkan sikap menyoal jin yang merasuk tentang tujuan ia mengganggu dan menyuruhnya agar keluar dan apabila ia enggan menuruti setelah diperjelaskan kesalahan mereka maka kami akan mengancam mereka dengan ancaman tertentu seperti memukul jin tersebut tanpa menyentuh atau memudaratkan tubuh pesakit setelah proses negosasi gagal. Pada tahap paling akhir dan ditimbangkan sebagai wajar maka jin yang tetap berdegil akan dibunuh. Setelah itu pesakit akan diberi air untuk diminum dan air untuk mandian dirumah.

Maka disimpulkan kaedah rawatan kami melalui 4 tahapan iaitu:

1. Menyoal, negosasi dan mengancam jin
2. Memukul jin
3. Membunuh jin
4. Penggunaan air sebagai rawatan ke atas pesakit

Berikut adalah dalil-dalilnya:

1. Dalil menyoal, negosasi dan mengancam jin

Imam Bukhari di dalam bab “Keutamaan Al-Qur’an” iaitu bahagian “Wakalah”, mengenai sifat Iblis, dalam kitab shahihnya mengatakan bahawa Utsman ibnu al-Haitsam yang digelar Abu Amr mengatakan, telah menceritakan kepada kami Auf, dari Muhammad ibnu Sirin, dari Abu Hurairah r.a yang menceritakan hadits berikut;

“Rasulullah S.a.w pernah menugaskan diriku untuk menjaga zakat Ramadhan (zakat fitrah). Lalu datanglah kepadaku seseorang yang terus mengambil sebahagian dari makanan, maka aku menangkapnya dan kukatakan padanya, “Sungguh aku akan mengadukanmu pada Rasulullah S.a.w.” Lalu dia berkata, “Lepaskanlah aku, sesungguhnya aku orang yang miskin dan ramai anak, serta aku dalam keadaan sangat memerlukan.” Aku melepaskannya, dan pada pagi hari, Nabi S.a.w berkata padaku; “Wahai Abu Hurairah, apa yang telah dilakukan oleh tawananmu semalam?” Aku menjawab, “Wahai Rasulullah, dia mengadu bahawa dia sangat miskin dan ramai anak, hingga aku kasihan padanya, maka aku melepaskannya.” Nabi S.a.w bersabda, “Ingatlah, sesungguhnya dia telah berdusta padamu dan dia pasti akan kembali lagi.”

Aku pun tahu bahawa dia akan kembali kerana sabda Rasul S.a.w yang mengatakan bahawa dia akan kembali. Untuk itu aku mengintainya, ternyata dia datang lagi, lalu dia mengambil sebahagian dari makanan itu. Maka kutangkap dia dan aku mengatakan, “Sungguh aku akan mengadukanmu pada Rasulullah S.a.w.” Dia berkata, “Lepaskanlah aku, kerana aku miskin dan ramai tanggungan anak-anak. Aku taubat tidak akan kembali lagi.” Aku merasa kasihan padanya dan aku lepaskan dia. Pada pagi hari, Nabi S.a.w bertanya padaku; “Wahai Abu Hurairah, apa yang dilakukan oleh tawananmu malam tadi?” Aku menjawab, “Wahai Rasulullah, dia mengadukan keadaannya yang miskin dan punya ramai anak. Aku begitu kasihan padanya sehingga aku melepaskannya pergi.” Nabi S.a.w bersabda, “Ingatlah, sesungguhnya dia telah berdusta padamu dan dia akan kembali lagi.”

Aku intai untuk ketiga kalinya, ternyata dia datang lagi dan mengambil sebahagian dari makanan. Maka aku tangkap dia, dan ku katakan padanya, “Sungguh aku akan mengadukanmu pada Rasulullah S.a.w. Ini sudah kali ketiga, engkau katakan tidak akan kembali namun ternyata masih kembali.” Dia pun menjawab, “Lepaskanlah aku, aku akan mengajar padamu beberapa kalimah yang akan membuatmu mendapat manfaat dari Allah kerananya.” Aku bertanya, “Kalimah apakah itu?” Dia pun menjawab, “Apabila engkau hendak tidur di katilmu, bacalah Ayat Kursi iaitu “Allahu laa ilaaha illa huwal hayyul qoyyum …” hingga engkau menyelesaikan ayat tersebut. Sesungguhnya engkau akan terus-menerus mendapat pemeliharaan dari Allah dan tiada syaitan yang berani mendekatimu hingga pagi hari.” Maka aku lepaskan dia. Pada pagi harinya Rasulullah S.a.w bertanya padaku, “Apa yang dilakukan oleh tawananmu semalam?” Aku menjawab, “Wahai Rasulullah, dia mengaku bahawa dia mengajarkan padaku beberapa kalimah yang menyebabkan aku mendapat manfaat dari Allah kerana (membaca) nya, sehingga aku pun melepaskan dirinya.” Rasulullah S.a.w bertanya, “Apa kalimah-kalimah tersebut?” Aku menjawab, “Dia mengatakan padaku, apabila aku hendak pergi tidur di katil, bacalah ayat kursi dari awal hingga akhir ayat, iaitu “Allahu laa ilaaha illa huwal hayyul qoyyum…” Dia mengatakan padaku “Engkau akan terus-menerus mendapat pemeliharaan dari Allah dan tiada syaitan yang berani mendekatimu hingga pagi hari.” Sedangkan para sahabat adalah orang-orang yang paling suka kepada kebaikan. Maka Nabi S.a.w pun bersabda, “Ingatlah, sesungguhnya dia percaya kepadamu, tetapi dia sendiri banyak berdusta. Wahai Abu Hurairah, tahukah kamu siapa orang yang kamu ajak bicara selama tiga malam itu?” Aku menjawab, “Tidak,” Nabi S.a.w berkata, “Dia adalah syaitan.”

2. Dalil memukul jin

Kisah yang lain diriwayatkan oleh Abu Ubaid di dalam Kitabul Gharib nya, telah menceritakan kepada kami Abu Mu’awwiyah, dari Abu ‘Ashim as-Tsaqafi, dari As-Sya’bi, dari Abdullah ibnu Mas’ud, bahawa ada seorang lelaki dari kalangan manusia berangkat, lalu dia bersua dengan lelaki dari kalangan makhluk jin. Jin berkata kepadanya, “Mahukah engkau berkelahi denganku? Jika kamu dapat mengalahkan aku, aku akan mengajarkan kepadamu suatu ayat yang jika kamu katakan ketika hendak memasuki rumahmu nescaya tidak ada syaitan yang berani memasukinya.” Maka manusia itu berkelahi dengannya, dan ternyata dia dapat mengalahkannya. Lalu si manusia berkata, “Sesungguhnya aku mendapatimu berbadan kurus lagi kasar, seakan-akan kedua tanganmu seperti tangan (kaki depan) anjing. Apakah memang demikian semua bentuk dan rupa kalian golongan jin, ataukah kamu hanya salah satu dari mereka?”

Jin itu menjawab, “Sesungguhnya aku di antara mereka adalah jin yang paling kuat. Sekarang marilah kita bertarung lagi.” Maka manusia itu bertarung dengannya dan dapat mengalahkannya. Akhir-nya jin itu berkata;

Kamu baca Ayat Kursi, kerana sesungguhnya tidak sekali-kali seseorang membacanya bila hendak memasuki rumahnya, melainkan syaitan (yang ada di dalamnya) keluar sambil terkentut-kentut, seperti suara keldai.

Kemudian ditanyakan kepada Ibnu Mas’ud, “Apakah yang dimaksudkan dengan manusia tersebut ialah Umar?” Ibnu Mas’ud menjawab, “Siapa lagi orangnya kalau bukan Umar.”

[Imam Ibnu Katsir – Tafsir Ibnu Katsir, tafsir Ayat Kursi]

3. Dalil membunuh jin

Dari Abu Al-Thufail, beliau bercerita, “Ketika Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menaklukkan kota Mekah, beliau mengutus Khalid bin al Walid ke daerah Nakhlah, tempat keberadaan berhala ‘Uzza. Akhirnya Khalid mendatangi ‘Uzza, dan ternyata ‘Uzza adalah tiga buah pohon Samurah. Khalid pun lantas menebang ketiga buah pohon tersebut. Ketiga buah pohon tersebut terletak di dalam sebuah rumah. Khalid pun menghancurkan bangunan rumah tersebut. Setelah itu Khalid menghadap Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan melaporkan apa yang telah dia kerjakan. Ujar Nabi, ‘Kembalilah karena engkau belum berbuat apa-apa.’ Akhirnya beliau kembali. Tatkala para juru kunci ‘Uzza melihat kedatangan Khalid, mereka menatap ke arah gunung yang ada di dekat lokasi sambil berteriak, “Wahai ‘Uzza. Wahai ‘Uzza.” Khalid akhirnya mendatangi puncak gunung, ternyata ‘Uzza itu berbentuk perempuan yang mengurai rambutnya. Dia ketika itu sedang menuangkan debu ke atas kepalanya dengan menggunakan kedua telapak tangannya. Khalid pun melibaskan pedang ke arah jin perempuan ‘Uzza sehingga berhasil membunuhnya. Setelah itu Khalid kembali menemui Nabi dan melaporkan apa yang telah dia kerjakan. Ujar Nabi, “Nah, itu baru ‘Uzza.” [HR. An-Nasa’I, Sunan Kubro no. 11547, jilid 6 hal. 474, terbitan Darul Kutub Ilmiyyah Beirut, cetakan pertama 1411 H.]

3. Dalil memberi air sebagai rawatan keatas pesakit

Dan ingatlah akan hamba Kami Ayyub ketika dia menyeru Tuhannya, “Sesungguhnya aku diganggu syaitan dengan penderitaan dan bencana.” (Allah berfirman), “Hentakkanlah kakimu; inilah air yang sejuk untuk mandian dan untuk minum.” [Sad : 41 dan 42]

Kesimpulannya;
Apabila kita mengkaji cara para sahabat menangani jin ini maka ianya tidak terhenti dengan cara ruqyah semata-mata bahkan ada cara yang pelbagai untuk mengalahkan jin maka kami menuruti cara yang pelbagai itu. Maka saksikanlah bahawa cara rawatan kami juga menuruti sunnah.