Pernahkah terdapat kesan lebam paling tidak sebesar duit syiling 20 sen pada bahagian peha atau betis anda yang anda sendiri tidak tahu dari mana datangnya lebam tersebut? Kadang-kadang terdapat kesan gigitan pada lebam-lebam itu. Ianya kerap ada dipeha atau betis tanpa dapat dijelaskan puncanya. Dalam waktu yang sama anda kerap didatangi lembaga yang sering mengganggu didalam mimpi samada berupa lembaga hitam, lembaga berbulu atau lembaga yang menyerupai ayah atau ibu atau datuk atau nenek atau seseorang yang tidak dikenali. Kadang-kala anda merasakan seperti ada yang mengikut anda atau memerhati anda sehingga anda rasa tidak selesa.

Paling kronik, lembaga itu menjelma didepan anda atau menyetubuhi anda didalam mimpi. Paling tidak pun anda mengalami sakit-sakit pada tubuh badan yang tidak dapat dikenalpasti puncanya oleh doktor. Akhirnya anda mula dirasuk dan berkelakuan tidak normal atau setidak-tidaknya mula mendengar suara-suara halus yang berbisik ditelinga menyuruh anda melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya.

Jika anda sedang mengalami semua atau sebahagian daripada simptom-simptom diatas maka kemungkinan besar anda diganggu Saka.

Apa itu Saka? Begini…

Ada dikalangan bangsa jin yang menerima permintaan manusia yang mahu menggunakan kebolehan mereka yang diluar kebiasaan upaya manusia maka terjadilah ikatan kerjasama antara mereka melalui perjanjian tertentu yang dipersetujui oleh kedua mereka. Antara syarat perjanjian itu adalah mereka saling menjaga diantara satu sama lain. Apabila jin tersebut menjaga keselamatan manusia dan ahli keluarga yang menjadi tuannya itu atau menuruti perintahnya maka manusia itu pula wajib menyediakan kediaman dan makanan bagi jin tersebut. Bangsa jin yang menjalin kerjasama dengan manusia ini disebut sebagai Pendamping.

Selalunya bangsa jin berumur panjang berbanding manusia dan kerana itu jugalah demi menjaga keselamatan anak cucunya maka si manusia tadi telah mewariskan Pendampingnya itu kepada pewarisnya yang sesuai dan begitulah seterusnya sehingga ke jurai keturunannya yang ke bawah. Pewaris yang mewarisi Pendamping ini juga perlu mematuhi dan melaksanakan isi perjanjian yang dibuat diantara jurai keturunannya yang diatas dengan jin tersebut sebagaimana dahulu. Ketika ini Pendamping tersebut dikenali pula sebagai Saka. Kesimpulannya, Saka ialah Pendamping yang diwariskan kepada anak cucu keturunan.

Selagi perjanjian dipatuhi maka selagi itulah Saka akan menjaga dan berkhidmat kepada tuannya tetapi jika perjanjian tidak dipatuhi maka Saka akan memberontak dan mengganggu pula anak cucu keturunan.

Bagaimana mengetahui jurai keturunan diatas ada membela Saka?

Keturunan yang bersaka selalunya jurai diatasnya secara jelas melakukan upacara tertentu untuk memanggil dampingannya bagi tujuan mengubat, membidan, mengurut atau mengajar silat. Kadang-kadang kemenyan dibakar atau membaca bacaan ayat-ayat tertentu atau serapah jampi mentera dalam bahasa yang bercampur dengan kata-kata yang tidak difahami. Kemudian ia mula ‘menurun’ (dimasuki jin) atau setidak-tidaknya berinteraksi dengan dampingannya secara ghaib untuk mendapatkan maklumat tertentu berkenaan pesakit. Ada juga yang menyediakan beberapa jenis kuih-muih atau makanan-makanan didalam talam atau bekas tertentu dan diletakkan ditempat tertentu didalam rumah sebelum mengadakan kenduri-kendara atau setidak-tidaknya ahli keluarga perlu melakukan ritual tertentu atau menyiapkan sesuatu bahan tertentu dan jika tidak dilakukan musibah akan menimpa seperti pengantin tiba-tiba meracau atau pengsan atau sebagainya.

Kemungkinan besar keturunan anda bersaka jika jurai keturunan diatas anda terlibat dengan perkara diatas apatah lagi jika anda juga melakukan ritual-ritual diatas dan jika anda mengamalkan ritual-ritual seperti diatas maka andalah pewaris saka keturunan anda.

JANGAN KETINGGALAN!

Sudah terbit!

Untuk julung kalinya buku ILMU GERAK: Khazanah Pendeta Melayu ini membahaskan suatu kaedah rawatan bardasarkan keilmuan pendeta Melayu yang berupaya menumpaskan jin dan sihir dengan mudah, santai dan berhasil. 

Untuk membeli sila layari Facebook PRAWIS (facebook.com/sepohonjadi.prawis). Dan jangan lupa sertai senarai langganan kami untuk berita-berita menarik yang lain.

 

Terima kasih atas langganan anda. Sila pastikan email dari kami tidak termasuk ke dalam folder SPAM anda.