Pengijazahan

Pengijazahan

Ianya adalah sekadar kebenaran guna atau izin pakai dari empunya ilmu atau amalan (guru) kepada seseorang murid setelah murid itu mengetahui, memahami dan tahu selok-belok ilmu atau amalan yang diperturunkan kepadanya. Pengijazahan adalah cuma sebagai tanda bahawa guru telah meredhokan ilmu-ilmunya atau amalan-amalannya untuk dipakai oleh muridnya maka ilmu yang dimiliki oleh murid sentiasa didalam keberkatan.

Pengijazahan yang diberikan kepada para peserta kursus rawatan Sehari Segudang Ilmu ialah keatas Amalan Doa yang dipakai oleh pengasas didalam merawat berserta pemahaman-pemahaman disebalik Amalan Doa tersebut. Oleh kerana itulah semasa pengijazahan, tiada sebarang ritual pembukaan energi atau pengisian yang dilakukan pada tubuh peserta oleh pengasas. Tiada upacara seperti bersalaman tangan antara guru dengan murid, meminum atau dimandikan dengan air jampi, menelan logam kecil atau memakan barang tertentu seperti garam batu ataupun kemenyan, terikat dengan syarat-syarat tertentu semasa atau sesudah pengijazahan seperti membawa kain-kain berwarna, pisau lipat, limau, tidak boleh lalu dibawah ampaian dan sebagainya.

Menetapkan ijazah atau upacara ijazah adalah asbab menjadinya ilmu atau sebagai ritual terbukanya atau masuknya atau meresapnya ilmu ke dalam diri murid, maka penetapan yang begini tiada kena-mengena dengan akidah, pemahaman dan cara pengasas PRAWIS. Pengijazahan yang dilakukan oleh pengasas sekadar membacakan Amalan Doa sambil bacaan itu diikuti oleh para peserta. Walaupun pada hakikatnya pengijazahan tidak memerlukan kepada sebarang bentuk ritual namun tujuan pengasas ialah agar peserta mengetahui adab dan tertib bacaan sebagaimana yang diamalkan oleh pengasas sendiri disamping sebagai menzahirkan tanda atau isyarah atau sekadar simbolik bahawa ilmu-ilmu yang disampaikan telah mendapat kebenaran dari pengasas untuk para peserta mengamalkannya. Oleh itu, menjadi atau tidak ilmu yang dituntut bukanlah bergantung kepada ijazah sebaliknya terletak kepada diri individu itu sendiri iaitu bagaimana ia memahami dan mengendalikan ilmu-ilmunya. Namun, ilmu yang mendapat kebenaran atau keizinan lebih sempurna dan berkat.

Perumpamaannya bolehlah difahamkan begini… seseorang yang membuat kek yang resepinya didapatkan terus daripada pengajarnya dan dibimbing secara terus oleh pengajar (diijazahkan) pasti mendapati rasa keknya sesedap kek buatan sipengajarnya namun sebaliknya bagi seseorang yang mencuri-curi resepi kek sipengajar tadi dan membuat kek tersebut hanya berdasarkan panduan resepi yang dicurinya, kek itu mungkin tidak jadi atau setidak-tidaknya pasti kek yang dibuatnya tidak sesempurna kek sipengajar tadi malah rasanya juga pasti berlainan dari yang original. Lagi pula resepi tadi dicuri dan pasti tiada keberkatan didalam usahanya itu.

Di PRAWIS, setakat ini hanya pengasas sahaja yang mempunyai autoriti mengijazahkan dan beliau tidak pernah memberi tauliyah kepada sesiapa untuk mengijazahkan. Oleh itu jika ada sesiapa yang mengaku diberi tauliyah oleh pengasas PRAWIS untuk mengijazahkan maka perkara itu tidak benar sama sekali.

Leave a Reply